Jumaat, 5 Mac 2021

TiGaBeLaS TaHuN

Bermulanya kerjaya di sini 13 tahun yang sudah. Waktu itu, tahun menunjukkan kiraan dua ribu tujuh. Aku akui ini semua adalah takdir, tidak pernah terancang atau merancang untuk menjadikan diri ini sebagai ahli akademik. Namun, itulah kenyataan yang berlaku, satu demi satu pekerjaan telah kulalui bermula selepas STPM, kujejakkan kaki dalam dunia pekerjaan sebagai 'pemandu syarikat' merangkap 'pekerja am' bagi salah sebuah pasaraya yang terkenal di Sandakan pada tahun 1996. 

oktober 2020


Ramai yang biasa singgah di Shop and Save kerana lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan Dewan Masyarakat, Pejabat Pos dan Perpustakaan Awam. Pada malam hari pula, ianya bersebelahan dengan tapak pasar malam. Walau hanya beberapa bulan, namun aku berjaya merasai keindahan seorang pekerja operasi dengan upah harian yang aku pun tidak berapa ingat, tanpa ada bantuan makanan.

Apa yang indah sebagai pemandu dan pekerja am?

Akan kuceritakan secara ringkas rutin harianku. Pertama, tugas sebagai pemandu van ialah untuk memastikan bekalan barang sentiasa mencukupi agar rak-rak di kedai tidak kosong. Untuk itu, setiap pagi, kami akan pergi ke gudang untuk mengambil stok yang diperlukan. Ini termasuklah barangan sejuk beku dan semua akan dilakukan dengan tulang empat kerat dan bantuan troli. ada barang yang ringan dan banyak barang yang berat.

Setelah sampai semula ke kedai, barang tersebut perlu dimasukkan dan disusun di tempat yang betul dan dalam banyak keadaan, barang ini perlu dibungkus semula dalam kuantiti yang bersesuaian. Contohnya daging kambing sejuk beku, perlu dipotong mengikut saiz dan dibungkus mengikut berat. Ini semua akan dilakukan dibahagian belakang termasuklah bungkusan untuk beras, sayur-sayuran dan pelbagai lagi barangan lain. Dalam tempoh inilah aku akan diejek oleh rakan yang lain kerana tidak berapa mampu mengangkat lebih dari 15kg, maklumlah selama ini hanya baca buku.

Aktiviti seterusnya ialah proses menghantar barangan ke cawangan-cawangan lain iaitu Hotel dan pasaraya butik milik syarikat ini. Aku selalu menjejakkan kaki ke Hotel Sanbay dan Dimage...

Hotel Sanbay

Kami akan hantar barang makanan dan beberapa keperluan lain mengikut tempahan yang diberikan.

Sumber: Sepanjang Perjalanan. blogspot
Barang ke Dimage berupa pakaian dan alat solek. Masalah di sini ialah tiada ruang parking yang khusus dan kawasan ini agak sesak. 

Rutin ini akan dilakukan sehinggalah ke petang dan akan berakhir pada pukul 5.30 petang. namun begitu, jika tidak banyak tempahan, aku akan ditugaskan untuk menyusun barang di rak dan adakalanya akan bekerja di kaunter pembayaran. Di sini, aku akan bantu Juruwang untuk memasukkan barang ke dalam beg plastik dan aku masih ingat tentang peraturannya iaitu kena asingkan barang itu ikut jenis: makanan, kosmetik, ubat, racun dan barangan segar. Tujuannya untuk mengelakkan bau sabun terkena dengan makanan yang telah dibeli oleh pelanggan. 

Setelah lebih kurang tiga bulan, aku mula bertukar kerja dan akhirnya menyambung pengajian demi pengajian dan akhirnya 2007 diterima di sini. Dalam tempoh 10 tahun itu, pelbagai jenis pekerjaan yang melibatkan 'pemasaran' atau jualan langsung telah aku ceburi. Antaranya pemasaran alat belajar bahasa Inggeris "Linguphone", menjual "mesin basuh jenama Elektrolux' dan turut menjadi agen jualan bagi "Kad Kredit' jenama Eon Bank. 

Elektrolux

Kredit Kad

Sumber: https://www.linguaphone.com.my/intro.php



Secara ringkas, pekerjaan ini telah mengajar aku untuk 'memaniskan mulut' kerana pemasaran itu adalah tentang 'pembujukan'. Saat yang paling manis ialah saat "CLOSED" bila pelanggan setuju memberikan kad pengenalan mereka tanda setuju untuk menjadi pelanggan. Kawan-kawan akan menjeling sambil tersenyum dan mengucapkan 'closed lagi"!. Ini kulakukan setelah aku menjadi sarjana muda pada tahun 2001.

Sepanjang tempoh itu juga, aku melibatkan diri dengan perniagaan jualan langsung dengan mendaftar diri sebagai agen Amway, barangan berkualiti dengan pelanggan yang tetap. Apa yang menarik ialah 'sistem latihan dan pembangunan' yang melibatkan kumpulan profesional melalui Network 21. Pelbagai sesi percambahan idea dan penghargaan telah aku ikuti dengan semangat "Go Diamond" hingga membawa aku ke Kuala Lumpur. Semuanya dengan sedikit perbelanjaan. Saat inilah aku belajar tentang 'teamwork' dan nilai nilai positif yang lain seperti DREAM BIG dan konsep BOLT AND NUT.
Network21



Semua itu aku tinggalkan bila akhirnya, aku diterima sebagai Pembantu Pengajar di UMS di bawah Skim Sangkutan yang kini lebih dikenali sebagai SL1M. sepanjang 6 bulan kami telah ditempatkan semula di Sekolah Sains Sosial dan menjalankan pelbagai kegiatan di sini hingga akhirnya aku melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di UKM pada tahun 2002 dan berjaya pada tahun 2004. Namun begitu, aku perlu untuk menunggu selama beberapa tahun dan telah kembali ke kampung halaman dan memegang jawatan Pekerja Ladang.

Bekerja di Ladang kelapa sawit ini, aku telah menjadi penuai sawit dan beberapa kerja lain. Di situ, aku belajar apa dia konsep 3D, dirty, difficult dan dangerous: kotor, susah dan bahaya. Semuanya tentang keringat dan kesabaran dengan sedikit pendapatan bulanan. Dengan itulah akhirnya, aku berjaya sampai ke sini pada hari ini pada tiga belas tahun yang lepas.

Berdasarkan sedikit pengalaman ini, aku dapat mamahami maksud tersirat di sebalik 'keringat dan sabar' dalam dunia pekerjaan. Kerja itu akan memberi makna yang berbeza kepada pekerja dan yang pasti, banyak masa dan tenaga manusia telah berikan untuk pekerjaan ini sehingga menimbulkan pelbagai persoalan dan permasalahan. Dan kerana pekerjaan ini juga, membawa aku untuk menilai PERGADUHAN yang berlaku hasil pelbagai JENIS KONFLIK ATAU PERTIKAIAN dalam dunia pekerjaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan